Sorting by

×

PELANCONGAN MELAKA MERIAH SETIAP BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 17 Mei – Kerajaan Negeri akan terus memperhebat penganjuran acara berskala besar setiap bulan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2.0 bagi memastikan negeri ini kekal menjadi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, antara yang dirangka adalah program santai dan berteraskan warisan sebagai tarikan kepada pelancong serta pengunjung yang hadir ke Banda Hilir serta lokasi tumpuan lain di negeri ini.

“Sudah tentu program dianjurkan nanti turut mempamerkan kebudayaan Negeri Melaka yang membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman budaya tempatan.

“Ini adalah satu kaedah pengisian untuk pelancong dan pengunjung yang memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan mereka.

“Kita dapat lihat bukan sahaja pelancong domestik, malah pelancong luar negara juga pasti teruja dengan kepelbagaian serta keunikan warisan dan budaya Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepetang Warisan Santai@Banda Hilir di Perkarangan Stadthuys, di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri sentiasa merancang pelbagai program berskala besar sepanjang tahun ini selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2.0 yang menghimpunkan lebih 220 acara pelancongan dan kebudayaan.

“Kita ada lebih 100 lagi acara utama yang akan diadakan bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus meriah sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

129
Kongsi :
Previous post MBMB BELI MINYAK MASAK TERPAKAI RM3.20 SEKILOGRAM