
7,400 GAMATKAN SEPETANG WARISAN SANTAI@BANDA HILIR
BANDA HILIR 17 Mei – Perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, meriah apabila dibanjiri kira-kira 7,400 pengunjung sempena Program Sepetang Warisan Santai@BandaHilir yang menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan permainan tradisional.
Suasana sekitar lokasi program turut dipenuhi pelancong tempatan dan antarabangsa yang tidak melepaskan peluang mencuba sendiri pelbagai permainan tradisional, selain menikmati persembahan kebudayaan serta jamuan rakyat yang disediakan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara membuktikan program berteraskan warisan dan budaya tradisional masih mendapat tempat di hati masyarakat.
Menurutnya, pelbagai pertandingan dan aktiviti dianjurkan sepanjang program berkenaan antaranya sepak raga bulatan, chap teh, congkak, dam aji serta persembahan kebudayaan.
“Kita lihat sambutan orang ramai amat menggalakkan dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan program ini. Malah, pelancong dalam dan luar negara juga mengambil peluang merasai sendiri permainan tradisional yang disediakan.
“Program ini diadakan di kawasan Banda Hilir untuk kita bersama-sama menyantuni pelancong yang datang ke Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari ini pada Program Sepetang Warisan Santai@BandaHilir yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Perkarangan Stadthuys, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan; Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff serta lain-lain kenamaan.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan beca berhias, demonstrasi pembuatan kuih tradisional, persembahan kebudayaan Bahagian Kesenian dan Kebudayaan bersama Kombo MBMB serta jamuan rakyat berkonsepkan kuih tradisional.
Pada majlis sama, turut disampaikan sumbangan kepada empat persatuan beca yang menjadi antara duta kecil pelancongan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

