
MENARA TAMING SARI TAWAR DISKAUN ISTIMEWA SEMPENA ULANG TAHUN KE-18
BANDA HILIR 18 Mei – Bersempena sambutan ulang tahun operasinya yang ke-18 Menara Taming Sari menawarkan diskaun istimewa kepada pengunjung terutama sepanjang tempoh cuti persekolahan yang akan tiba tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, perincian mengenai tawaran diskaun tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Katanya, selain tawaran diskaun pihaknya turut merancang pelbagai pengisian khas berkonsepkan kekeluargaan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan ikonik itu.
“Lebih 18 tahun beroperasi, menara ini kekal berdiri megah kerana sokongan pengunjung, jadi sudah tentu pada ulang tahun kali ini kita akan menawarkan diskaun menarik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Nur Azan berkata antara pengisian yang dirancang termasuk permainan rakyat, persembahan serta beberapa aktiviti santai untuk seisi keluarga.
“Kita juga merancang menyediakan ‘soopa doopa’ untuk kanak-kanak ketika ibu bapa menyertai permainan rakyat.
“Pengunjung sebelum ini menunjukkan minat tinggi terhadap aktiviti interaktif seperti petting zoo, jadi kita akan terus memperbanyakkan program santai di perkarangan menara.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui media sosial rasmi Menara Taming Sari termasuk di Facebook, TikTok dan Instagram,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

