Sorting by

×

MBMB TURUN PADANG SANTUNI PENDUDUK, SALUR BANTUAN IKUT KEPERLUAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 18 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meneruskan pendekatan turun padang dengan menyantuni pemilik tujuh buah rumah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menerusi Program MBMB Sayang Rakyat (MeSRa) dan Bandaraya Penyayang.

Inisiatif itu dilaksanakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas yang memfokuskan kebajikan serta keperluan rakyat di kawasan pentadbiran MBMB.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, program itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti kediaman yang memerlukan bantuan, malah turut meneliti isu-isu semasa yang dihadapi penduduk di lapangan.

“Setiap lawatan membolehkan MBMB melihat sendiri keadaan sebenar masyarakat serta mendengar terus permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk dan pemimpin setempat.

“Ketujuh-tujuh rumah yang kami lawati menzahirkan kegembiraan apabila kita turun padang dan ada juga yang mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MeSRa dan Bandaraya Penyayang DUN Telok Mas sempena Program WRUR DUN Telok Mas di Ujong Pasir, di sini, semalam.

Program itu turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Shadan berkata, hasil lawatan tersebut MBMB mengambil maklum beberapa isu yang dibangkitkan penduduk dan akan melaksanakan tindakan susulan dengan segera.

Katanya, bantuan yang disalurkan juga berbeza mengikut keperluan setiap rumah, termasuk kerja baik pulih serta pemberian barangan keperluan asas.

“Ada rumah memerlukan televisyen, ada yang memerlukan mesin basuh, malah ada juga yang memerlukan peralatan seperti mesin pengisar untuk tujuan perniagaan kecil seperti membuat kuih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post RUMAH USANG JADI SAKSI KETABAHAN IBU TUNGGAL
Next post SANTUNI MANGSA KEBAKARAN BUKTI TOK RAUF PRIHATIN KESUSAHAN RAKYAT