
RUMAH USANG JADI SAKSI KETABAHAN IBU TUNGGAL
TELOK MAS 18 Jun – Kehidupan seorang ibu tunggal, Rafedah Othman, 57, penuh liku apabila terpaksa meneruskan kehidupan di rumah pusaka yang uzur sejak sekian lama, selain diuji apabila kehilangan suami tercinta baru-baru ini.
Dengan nada sebak, Rafedah meluahkan rasa syukur apabila kediamannya kini mendapat perhatian pihak berwajib yang membantu melaksanakan kerja-kerja baik pulih, termasuk membaiki bumbung dan dua bilik yang sebelum ini rosak teruk sehingga sering dimasuki air ketika hujan.
“Sebelum ini rumah hampir roboh bila hujan, air masuk ke dalam rumah. Sekarang alhamdulillah sudah dibaiki, saya rasa lebih selamat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya di Ujong Pasir, semalam.
Rumah Rafedah dibaik pulih oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi Program MBMB Sayang Rakyat (MeSRa) dan Bandaraya Penyayang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Menurutnya, rumah tersebut merupakan rumah pusaka yang didiami sejak berkahwin dengan arwah suami, dan telah menjadi tempat tinggal lebih 16 tahun, termasuk ketika beliau menjaga ibu mentua yang uzur.
“Saya menjaga mak mentua lebih 10 tahun. Dia tidak sihat dan tidak mampu bergerak, jadi saya memang tinggal di sini setiap hari.
“Saya pernah bekerja sebagai kerani, namun terpaksa berhenti untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab keluarga.
“Selepas pemergian suami pada April lalu akibat komplikasi kesihatan, saya kini hanya bergantung kepada bantuan yang tidak menentu bagi meneruskan kehidupan bersama anak,” katanya.
Kini, Rafedah hanya tinggal bersama anak lelakinya yang sedang mengikuti latihan kemahiran, sambil meneruskan kehidupan serba sederhana.
“Terima kasih kepada MBMB dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang sudi membantu membaik pulih kediaman saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


