Sorting by

×

WRUR TELOK MAS REALISASI HASRAT RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 19 Jun – Penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas memberikan impak yang amat positif kepada komuniti setempat di DUN berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pendekatan turun padang atau ‘walkabout’ bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membolehkan pelbagai permohonan yang rakyat tertangguh sejak sekian lama diberi perhatian dan tindakan segera diambil.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, antara yang paling bermakna pada sesi walkabout itu ialah Majlis Pecah Tanah Projek Bina Baharu Surau Taman Seri Telok Mas Fasa 5 yang menjadi impian penduduk setempat sejak lebih 20 tahun lalu.

“Alhamdulillah, menerusi WRUR DUN Telok Mas, hasrat penduduk untuk memiliki sebuah surau akhirnya menjadi kenyataan apabila majlis pecah tanah dapat dilaksanakan.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa mendengar suara rakyat dan berusaha menyelesaikan keperluan mereka secara berperingkat mengikut keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Projek Bina Baharu Surau Taman Seri Telok Mas Fasa 5 yang disempurnakan Ketua Menteri sempena WRUR DUN Telok Mas di Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Terdahulu, sesi walkabout dimulakan dengan Program Ziarah Kasih Warga Emas di Kampung Pengkalan Jajar yang turut menyaksikan penyerahan Pelekat Kampung Digital kepada penduduk.

Menurut Abdul Razak, program itu bukan sekadar platform menyantuni rakyat, malah memberi peluang kepada pemimpin negeri mendengar sendiri pandangan serta permasalahan yang dihadapi masyarakat.

“Pendekatan turun padang seperti ini amat penting kerana ia membolehkan Kerajaan Negeri memahami keperluan sebenar rakyat dan mencari penyelesaian terbaik secara terus di lapangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

524
Kongsi :
Previous post MELAKA BINA 13 MASJID BAHARU DALAM TEMPOH TIGA TAHUN – KM
Next post KETUA MENTERI UMUM BERITA GEMBIRA UNTUK WARGA SMK TELOK MAS