Sorting by

×

MELAKA BINA 13 MASJID BAHARU DALAM TEMPOH TIGA TAHUN – KM

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TELOK MAS 18 Jun – Sebanyak 13 masjid baharu telah dibangunkan Kerajaan Negeri dalam tempoh tiga tahun sebagai bukti komitmen merealisasikan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang berteraskan kesejahteraan dan keperluan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan pendekatan Kerajaan Negeri yang tidak hanya menumpukan pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut memberi perhatian kepada aspek sosial, kerohanian serta kesejahteraan komuniti.

Katanya, kemudahan masjid dan surau memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah, pendidikan serta pembangunan ummah yang mampu memperkukuh perpaduan masyarakat.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited mendengar denyut nadi rakyat, menyelesaikan keperluan masyarakat dan memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Kita memahami pembangunan bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi turut merangkumi pembentukan masyarakat yang seimbang dari segi sosial dan kerohanian.

“Apa yang lebih bermakna, pembinaan Surau Taman Seri Telok Mas Fasa 5 ini adalah hasil perjuangan dan harapan penduduk yang menantikan kemudahan itu sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Surau Taman Seri Telok Mas Fasa 5 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, pembinaan surau itu menjadi satu lagi bukti bahawa setiap suara rakyat yang disampaikan kepada Kerajaan Negeri sentiasa diberi perhatian dan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Beliau memaklumkan, penduduk membabitkan kira-kira 500 unit kediaman di kawasan itu telah menanti selama dua dekad dan akhirnya harapan itu direalisasikan Kerajaan Negeri menerusi WRUR.

Jelas beliau, projek pembinaan surau itu melibatkan kos keseluruhan RM600,000 dengan RM500,000 diperuntukkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, manakala RM100,000 lagi disalurkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Projek ini dijadualkan bermula pada 13 Julai depan dan dijangka siap pada 2 November 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 16 minggu.

“Apabila siap nanti, surau ini akan memberi manfaat kepada lebih 500 keluarga di Taman Seri Telok Mas Fasa 5 yang majoriti penduduknya beragama Islam dan akan menjadi sebagai ibadah, pendidikan dan pembangunan ummah,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TURUN PADANG SANTUNI RAKYAT TELOK MAS