Sorting by

×

KETUA MENTERI TURUN PADANG SANTUNI RAKYAT TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TELOK MAS 18 Jun – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meneruskan pendekatan mendekati rakyat apabila meluangkan masa menyantuni penduduk serta meninjau pelbagai inisiatif pembangunan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Siri lawatan kerja itu dimulakan dengan Program Ziarah Warga Emas di Kampung Pengkalan Jajar dengan menziarahi seorang penduduk berusia hampir 90 tahun sebelum menyempurnakan penyerahan pelekat Kampung Digital kepada komuniti setempat.

Pada sesi berkenaan, Ketua Menteri turut bertanya khabar dan mendengar sendiri keperluan warga emas, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan golongan itu terus diberi perhatian.

Mengiringi beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Shaiful Hizam Johan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Selepas itu, Ab Rauf meneruskan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas bagi merasmikan mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ yang dihasilkan sebagai medium pendidikan sejarah dan pembentukan jati diri pelajar.

Mural berkenaan menampilkan nilai kepimpinan, keberanian dan semangat patriotisme yang sinonim dengan tokoh legenda Melaka, sekali gus menjadi simbol aspirasi melahirkan generasi muda berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Dalam lawatan itu, Ketua Menteri turut beramah mesra bersama warga sekolah serta meninjau kemudahan dan persekitaran institusi pendidikan berkenaan.

Selesai lawatan ke sekolah, beliau menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Surau Baharu Taman Seri Telok Mas Fasa 5 yang bakal memberi manfaat kepada ribuan penduduk kawasan tersebut.

Difahamkan, permohonan pembinaan surau berkenaan telah dikemukakan penduduk sejak lebih dua dekad lalu dan menerusi pelaksanaan WRUR DUN Telok Mas, hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan.

Projek yang dijangka siap dalam tempoh empat bulan itu bakal menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada masyarakat setempat, selain berfungsi sebagai pusat aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan.

Pelaksanaan projek berkenaan sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang mengikut keperluan komuniti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

253
Kongsi :
Previous post PETUGAS PEMBERSIHAN PERKUKUH DAYA TARIKAN PELANCONGAN MELAKA
Next post MELAKA BINA 13 MASJID BAHARU DALAM TEMPOH TIGA TAHUN – KM