
BELUKANG 2.055KG ‘TAWAN’ CRYSTAL BAY MEGASURF 2026
TELOK MAS 20 Jun – Ikan belukang seberat 2.055 kilogram (kg) membawa tuah kepada Abdul Fatah Abdul Rahman apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Crystal Bay Mega Surf 2026 yang berlangsung meriah di Pantai Crystal Bay, di sini, hari ini.
Ikan yang didaratkan pada jam 9.23 pagi itu muncul sebagai tangkapan terberat pertandingan yang berlangsung selama tiga jam itu, sekali gus menewaskan kira-kira 1,000 kaki pancing yang mengambil bahagian.
Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Naib juara pula menjadi milik Mohd Jani Jantan yang menaikkan ikan gemang seberat 0.950kg, manakala tempat ketiga dimenangi Rizal Abdul Jalil juga dengan tangkapan gemang seberat 0.835kg.
Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan RM800 dan RM500.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, sambutan yang diterima daripada pertandingan itu adalah di luar jangkaan apabila Pantai Crystal Bay dipenuhi kaki-kaki pancing dari seluruh Melaka.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran Crystal Bay Megasurf 2026 itu secara tidak langsung membuktikan kemampuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menjadi lokasi pilihan bagi acara rekreasi dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Melihat kepada penyertaan yang amat memberangsangkan, saya bercadang untuk menjadikan pertandingan memancing sebagai acara tahunan di Telok Mas di mana kita akan mengadakannya pada bulan Ogos sempena kemerdekaan.
“Malah, jika terus mendapat permintaan, saya akan memastikan pertandingan ini dapat diadakan dua kali setahun atau setiap enam bulan sekali,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Crystal Bay Megasurf 2026.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Pertandingan memancing anjuran Tourism Melaka dan dikendalikan Joran Unggul Event Management itu merupakan sebahagian daripada pengisian program yang dianjurkan bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas dengan menawarkan yuran percuma kepada peserta.
Selain hadiah wang tunai, pertandingan itu turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik termasuk hadiah utama berupa sebuah motosikal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


