Sorting by

×

‘TERIMA KASIH TOK RAUF PROMOSI BATIK RIM’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

RIM 25 Jun – Penampilan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mengenakan batik tanah liat pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Isnin, dianggap sebagai satu pengiktirafan bermakna bagi komuniti Kampung Rim.

Malah ketika berucap pada majlis berkenaan Ketua Menteri menyatakan rasa bangga dan memuji komuniti Kampung Rim kerana mampu menghasilkan produk berkualiti dengan corak menarik selain amat selesa untuk dipakai meskipun diusahakan secara kecil-kecilan di belakang rumah.

Pengusaha Batik Clay Rim Legacy Mazlina Abdul Majid berkata, mereka tidak menyangka batik sebagai ‘buah tangan’ bersempena Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim akan dipakai oleh Ketua Menteri.

“Lebih membanggakan kami semua apabila Ketua Menteri mengenakan baju batik itu pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2026, kami bukan sahaja berbesar hati malah amat terharu.

“Sebagai pengusaha perusahaan kecil siapa tidak teruja apabila Ketua Menteri bukan sahaja sudi memakai malah secara terang-terangan memberitahu batik itu adalah dari Rim. Kami amat menghargai dan berterima kasih kepada Ketua Menteri.

“Pada awalnya saya berasa risau jika rekaan corak dihasilkan tidak menepati cita rasa Ketua Menteri. Untuk menyiapkan baju tersebut kami mengambil masa selama tiga hari dengan menampilkan kelainan pada warna yang dipilih, kami menggunakan motif bunga kesidang dan roda kereta lembu sebagai corak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, sokongan yang diberikan Ketua Menteri itu menjadi satu bentuk penghargaan terhadap usaha komuniti Batik Clay Rim Legacy selama ini berusaha memperkasakan industri kraf tempatan.

“Sokongan seperti ini memberikan suntikan semangat kepada kami untuk terus berkarya selain memastikan seni batik tanah liat terus berkembang serta dikenali ramai.

“Sebelum ini juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah mengenakan kemeja batik tanah liat hasil produk kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

626
Kongsi :
Previous post MALAYSIA PERKUKUH KEDUDUKAN DALAM INDUSTRI TENAGA GLOBAL – PMX
Next post PPSPM BAWA POTENSI PELANCONGAN SUNGAI MELAKA KE PENTAS ANTARABANGSA