
ANWAR PUJI PERANAN PENJAWAT AWAM TINGKAT PRESTASI MALAYSIA DALAM RANKING DAYA SAING DUNIA
ALOR GAJAH 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan dan komitmen penjawat awam negara yang menjadi antara faktor utama kejayaan Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam atau ‘World Competitiveness Ranking’ (WCR) atau Ranking Daya Saing Dunia.
Beliau berkata, peningkatan prestasi negara itu membuktikan keberkesanan sistem pentadbiran serta keupayaan perkhidmatan awam dalam melaksanakan dasar kerajaan dengan cekap dan berkesan.
Menurut Anwar, pencapaian tersebut turut mendapat perhatian dan pujian daripada Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov ketika lawatan beliau ke negara itu baru-baru ini.
“Prestasi kita dalam tempoh tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar menjadi Perdana Menteri, tetapi kerana sistem yang ada dan rakan-rakan dalam pasukan perkhidmatan awam.
“Presiden (Serdar) menyebut Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam ‘World Competitiveness Ranking’, saya mengucapkan terima kasih atas pujian itu, namun saya percaya pencapaian tersebut berlaku hasil kecekapan dan komitmen seluruh pasukan perkhidmatan awam di negara ini, bukannya usaha saya semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (Create) di Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad.
Anwar berkata, kejayaan yang dicapai itu perlu dijadikan pemangkin untuk penjawat awam terus meningkatkan prestasi, memperkukuh integriti serta mempercepat pelaksanaan dasar bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, dasar yang baik perlu disokong dengan pelaksanaan yang cekap kerana kerenah birokrasi dan kelewatan dalam proses pentadbiran boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta menghalang pertumbuhan ekonomi negara.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa budaya rasuah, salah guna kuasa dan penolakan terhadap perubahan perlu dibanteras kerana ia boleh melemahkan institusi serta menjejaskan kemajuan negara.
“Kejayaan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada dasar yang baik, tetapi juga kepada keberanian untuk berubah, meningkatkan kecekapan dan mengekalkan integriti dalam setiap aspek perkhidmatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


