
ISU INFESTASI LALAT FELDA MENGGONG DIBERI PERHATIAN SERIUS
MACHAP JAYA 25 Jun – Isu infestasi lalat didakwa mengganggu kehidupan harian penduduk sekitar Felda Tun Ghaffar Menggong, mendapat perhatian jabatan dan agensi berkaitan menerusi pelbagai tindakan bersama bagi menangani permasalahan itu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, masalah tersebut dipercayai berpunca daripada ladang ayam berhampiran selain faktor persekitaran yang boleh menyumbang kepada pembiakan lalat.
Katanya, penguatkuasaan giat dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Jabatan Kesihatan negeri yang kemudian disusuli tindakan bersesuaian.
“Memang ada aduan mengenai lalat di kawasan Gerai Makan dan Minum Felda Tun Ghafar Menggong, agensi-agensi terbabit kini giat melakukan pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan secara berkala. Selain daripada ladang ayam, isu sampah yang dibuang dengan cara tidak betul juga mengundang kehadiran serangga perosak ini.
“Pemilik ladang ayam terbabit sudah ditegur dan tindakan saman juga telah dikenakan bagi memastikan langkah kawalan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Sebagai tindakan susulan berhubung permasalahn itu beliau Hee Sem turun padang untuk bersama-sama menjayakan Program Gotong-Royong Sempena Kempen Kawalan Infestasi Lalat Tahun 2026 di Gerai Makan dan Minum Feldaa Tun Ghafar Menggong, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, walaupun masalah itu disifatkan berlaku secara bermusim, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan langkah kawalan yang sepatutnya dilaksanakan.
Jelasnya, pemilik ladang ayam perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan operasi mereka tidak menimbulkan gangguan kepada penduduk setempat.
“Kalau terlalu banyak lalat sehingga mengganggu penduduk, pelanggan warung dan premis makanan, perkara itu memang tidak boleh diterima.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan MPAG turut menjalankan pemantauan berkala serta menggunakan kaedah kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan populasi lalat di kawasan terjejas.
“Kerjasama semua pihak termasuk pengusaha, penduduk dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani secara menyeluruh dan berterusan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


