Sorting by

×

NORLINA BERSYUKUR MAIM SENTIASA MEMBANTU

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TELOK MAS 25 Jun – Ujian kehilangan anak, pemergian suami serta keperluan menjalani rawatan dialisis tidak mematahkan semangat Norlina Abdullah Maggie Yeo, 72, yang terus tabah menjalani kehidupan dengan sokongan keluarga dan bantuan pelbagai agensi.

Norlina meluahkan rasa gembira dan terharu apabila menerima kunjungan dalam Program Ziarah Kasih dan Santunan Masyarakat anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang membolehkan nasib golongan memerlukan terus diberi perhatian.

Menurutnya, bantuan bulanan diterima daripada MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) banyak membantu meringankan beban kehidupannya sejak sekian lama.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih ada yang mengambil berat. Pihak MAIM juga selalu datang menziarahi kami dan bantuan yang diberikan banyak membantu untuk keperluan harian.

“Program seperti ini sangat baik kerana dapat membantu orang susah dan memberi semangat kepada kami yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Taman Permatang Pasir Permai, baru-baru ini.

Pada sesi ziarah itu, Norlina menerima kunjungan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri yang juga Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Norlina yang merupakan anak kelahiran Melaka berkata, dia memeluk Islam pada tahun 1972 dan sejak itu mula membina kehidupan bersama keluarga di negeri ini.

Katanya selepas pemergian suami lebih 20 tahun lalu, dia meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal dan kini tinggal bersama anak lelaki sulung, cucu serta beberapa cicit di rumah.

Lebih memilukan, anak perempuan keduanya meninggal dunia tahun lalu akibat komplikasi penyakit kencing manis, meninggalkan anak-anak yang kini turut berada di bawah jagaannya.

“Saya tidak pernah bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Sekarang saya menjaga cucu dan menjalani kehidupan dengan bantuan yang diterima.

“Dengan bantuan yang ada, dapatlah kami meneruskan kehidupan dan menyediakan keperluan asas keluarga,” katanya.

Pada masa sama, wanita itu turut bersyukur kerana kini menerima rawatan dialisis secara percuma sebanyak tiga kali seminggu, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang sebelum ini terpaksa ditanggung.

“Sebelum ini saya perlu membayar RM169 bagi rawatan dialisis, tetapi sekarang dapat menjalani rawatan secara percuma. Ia sangat membantu kerana kos rawatan memang tinggi.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, MAIM dan semua pihak yang sentiasa menghulurkan bantuan termasuk ketika sambutan Aidilfitri melalui sumbangan wang tunai dan barangan keperluan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

252
Kongsi :
Previous post RM5 JUTA PASANG, NAIK TARAF LAMPU JALAN SELURUH MELAKA
Next post TAMAN REKREASI ANJUNG GAPAM DESTINASI RIADAH BAHARU MPHTJ