Sorting by

×

TAMAN REKREASI ANJUNG GAPAM DESTINASI RIADAH BAHARU MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BEMBAN 25 Jun – Taman Rekreasi Anjung Gapam diserahkan secara rasmi oleh pihak pemaju kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menterjemahkan hasrat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam menyediakan suasana kehidupan lebih berkualiti dan kondusif kepada penduduk dalam kawasan pentadbirannya.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, MPHTJ akan memastikan lokasi riadah baharu itu diselenggara dengan baik bagi memberikan manfaat yang maksimum kepada orang ramai.

Katanya, MPHTJ aspek penyelenggaraan yang diberikan perhatian adalah melibatkan pencahayaan, landskap dan kemudahan awam bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria, sekali gus menggamit kehadiran lebih ramai pengunjung.

“MPHTJ akan lakukan yang terbaik untuk menjaga Taman Rekreasi Anjung Gapam ini dan mengangkatnya sebagai lokasi riadah yang selesa untuk komuniti setempat dalam kawasan pentadbiran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bulan Jun 2026 dan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Anjung Gapam di Taman Rekreasi Anjung Gapam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut sebanyak 15 ekor itik turut dilepaskan sebagai simbolik perasmian Taman Rekreasi Anjung Gapam dibuka sepenuhnya untuk orang awam.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, taman rekreasi baharu itu turut dibuka kepada orang awam dan penduduk sekitar dan ia tidak tertakluk khas untuk penduduk Taman Anjung Gapam sahaja.

“Kita berharap taman ini menjadi kawasan rekreasi pilihan masyarakat sekitar serta dapat menggalakkan gaya hidup sihat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post NORLINA BERSYUKUR MAIM SENTIASA MEMBANTU
Next post POLIS MELAKA  TUMPASKAN SINDIKET ANTARABANGSA TAWAR PELABURAN SAHAM TIDAK WUJUD