Sorting by

×

POLIS MELAKA  TUMPASKAN SINDIKET ANTARABANGSA TAWAR PELABURAN SAHAM TIDAK WUJUD

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Polis Melaka menumpaskan sindiket pelaburan saham tidak wujud yang menyasarkan mangsa di Korea dan China susulan penahanan 31 individu dalam serbuan di sebuah rumah di Klebang, Isnin lalu.

Dalam serbuan pada jam 4.30 petang itu, seramai 30 lelaki warga China dan seorang wanita warga Korea berusia lingkungan antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata hasil serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan sindiket itu untuk memperdaya mangsa.

Katanya, antara barang yang dirampas termasuk 26 set komputer yang terdiri daripada monitor, papan kekunci dan tetikus, 50 telefon bimbit, sebuah modem router, sebuah internet port serta satu set alat kawalan jauh.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula beroperasi di negeri ini sejak dua bulan lalu dengan kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menyasarkan mangsa di Korea dan China bagi mempromosikan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini yang turut dihadiri Ketua JSJ, Asisten Komisioner Ahmad Zamry Marinsah dan Ketua JSJK, Superintendan Eu Kee Long.

Dzulkhairi berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket menggunakan iklan yang dihantar secara rawak melalui aplikasi Telegram sebelum mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi dikenali sebagai Hanhua.

“Mangsa kemudiannya akan dirujuk kepada kumpulan sindiket lain di lokasi berbeza untuk meneruskan proses penipuan sehingga membuat pelaburan.

“Modus operandi mereka adalah menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat bagi menarik minat mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, sindiket turut menggunakan kumpulan sembang yang dipenuhi ahli sindiket bagi meyakinkan mangsa bahawa pelaburan tersebut benar-benar memberikan keuntungan.

“Sebagai contoh, dalam satu kumpulan sembang yang mempunyai 10 ahli hanya seorang sahaja adalah mangsa manakala sembilan lagi merupakan ahli sindiket yang berpura-pura berkongsi kejayaan menerima pulangan lumayan.

“Taktik itu digunakan untuk mempengaruhi mangsa supaya terus menambah jumlah pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Selasa lalu hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post TAMAN REKREASI ANJUNG GAPAM DESTINASI RIADAH BAHARU MPHTJ
Next post JELAJAH KETUA MENTERI: SELESAI ISU RAKYAT SECARA TERUS DI LAPANGAN