Sorting by

×

7 DEKAD, KELAB BELL BELIA TAMIL TERUS BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 26 Jun – Program Derma Darah 2026 anjuran bersama Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia dan Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Melaka yang berlangsung baru-baru ini, mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum.

Program yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-70 Kelab Bell Belia Tamil itu telah berlangsung di sebuah pusat beli belah di Ayer Keroh, dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah serta membantu menambah bekalan darah di hospital.

Bertemakan ‘Setitis Darah, Sejuta Harapan’, program itu berjaya menarik penyertaan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Pengerusi penganjur, Mayuri Santar Sakar berkata, kejayaan program itu membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan keprihatinan masyarakat masih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kehadiran para penderma darah mencerminkan semangat perpaduan serta nilai kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan.

“Setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan rawatan serta menyelamatkan nyawa. Justeru, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma darah, sukarelawan dan pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini,” katanya.

Terdahulu, program itu turut dihadiri Pemangku Pengerusi Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Melaka merangkap Ahli Majlis Tertinggi Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia, Avinaash P. Shanmugam.

Avinaash turut menzahirkan penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan dan pihak yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan program tersebut.

“Sebagai sebuah pertubuhan belia yang telah berkhidmat selama 70 tahun kepada masyarakat, Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia akan terus komited melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, kesukarelawanan dan pembangunan belia yang memberi manfaat kepada rakyat serta negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post WRUR RIM: MPJ PRIHATIN BAIK PULIH LIMA RUMAH UZUR
Next post 213 ANAK YATIM PARLIMEN ALOR GAJAH DIRAIKAN SEMPENA HARI ASYURA