Sorting by

×

PERKHIDMATAN KLINIK PERGIGIAN BERGERAK JADIKAN SENYUMAN LEBIH BERSERI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERKAM 1 Julai – Komitmen untuk membudayakan amalan penjagaan gigi agar bersih, bersinar dan senyuman yang lebih berseri dalam kalangan rakyat Melaka diteruskan lagi menerusi perkhidmatan Klinik Pergigian Bergerak.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sejak dimulakan perkhidmatan Klinik Pergigian Bergerak menggunakan platform bas yang diubahsuai dan dilengkapi pelbagai peralatan berkaitan itu sudah memberikan perkhidmatan kepada lebih 200 orang rakyat Melaka.

Katanya, Klinik Pergigian Bergerak bernilai RM1.6 juta itu dijangka memperkukuh lagi sistem penyampaian perkhidmatan pergigian dengan kemampuan memberi rawatan kepada kira-kira 50 pesakit setiap kali turun ke lapangan.

“Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, adalah persinggahan keenam perkhidmatan ini, kita terima maklum balas amat positif dan ramai tertarik untuk mendapatkan rawatan disediakan.

“Kehadiran Klinik Pergigian Bergerak ini amat memudahkan orang ramai dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan di Klinik Pergigian milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Hari Aduan Rakyat Sempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Japerun Serkam, di sini, semalam.

Menurut Hee Sem, Kerajaan Negeri berharap perkhidmatan Klinik Pergigian Bergerak dapat diperluaskan ke seluruh Melaka terutama melibatkan klinik kesihatan tidak menawarkan kemudahan itu atau kawasan pedalaman.

“Saya telah memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka supaya memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin, kita mahu perluaskan akses perkhidmatan pergigian kepada rakyat.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk membawa perkhidmatan Klinik Pergigian Bergerak ke sekolah-sekolah bagi memberi rawatan dan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan murid,” katanya.

Jelasnya, laluan atau route map perkhidmatan Klinik Pergigian Bergerak telah disusun bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat menerima manfaat.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post KESIDANG LAHIR BELIA BERKUALITI DENGAN SUKAN
Next post 16 TAHUN BERJASA DENGAN MPAG, APC SUNTIK SEMANGAT ZURAIHA