
PROJEK PEMBANGUNAN UBAH WAJAH DUN SERKAM
SERKAM 5 Julai – Pelbagai projek pembangunan yang dirancang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam berjaya direalisasikan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara pencapaian utama sepanjang pelaksanaan program itu ialah pembinaan dua masjid baharu, penyambungan bekalan elektrik ke Pulau Besar serta pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur yang menjadi keperluan rakyat.
Katanya, menerusi WRUR Kerajaan Negeri terus menyuburkan syiar Islam dengan pembinaan Masjid Jamek Al-Faizin di Kampung Bukit Tembakau dan Masjid Jamek Al-Rasyidin di Serkam Darat membabitkan peruntukan keseluruhan RM12.8 juta.
“Dalam DUN Serkam ini kita berjaya melaksanakan beberapa projek dirancang sepanjang penggal pentadbiran saya termasuk projek infrastruktur yang memerlukan perhatian demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Pantai Siring 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Serkam di Pantai Siring, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.
Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pelaksanaan WRUR bukan sekadar menghimpunkan pelbagai program, malah menjadi medium mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh.
“Daripada program keagamaan, kemasyarakatan dan kebajikan sehinggalah kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan, semuanya disusun rapi bagi memastikan rakyat benar-benar merasai kehadiran kerajaan di sisi mereka.
“Namun, kekuatan sebenar WRUR bukan hanya diukur pada jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya bagaimana setiap pandangan dan keperluan rakyat diterjemahkan kepada tindakan menerusi pelbagai inisiatif serta projek pembangunan di DUN Serkam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

