Sorting by

×

PERKEMBANGAN SEKTOR PELANCONGAN MELAKA BERI LIMPAHAN REZEKI KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 4 Julai – Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk terus memperkasakan sektor pelancongan supaya sektor itu bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, malah memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rakyat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, warisan dimiliki Melaka tidak seharusnya sekadar dijadikan tatapan tetapi perlu dimanfaatkan untuk menggamit lebih ramai pengunjung, sekali gus mengembangkan lagi sektor perlancongan.

Katanya, kawasan Stadthuys adalah contoh terbaik kepada perkembangan sektor pelancongan Melaka apabila lokasi berkenaan dibanjiri ribuan pengunjung seterusnya memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil, pengayuh beca, penggiat seni dan pengusaha produk tempatan.

“Perkembangan pelancongan seperti ini yang kita mahu, pelancongan yang hidup bersama rakyat dan hasilnya kembali kepada rakyat.

“Denyut nadi pelancongan inilah yang terus membawa Melaka ke hadapan yang mana sehingga Mei lalu Melaka telah berjaya merekodkan kehadiran lebih enam juta pelancong dengan anggaran sumbangan
sebanyak RM6.24 bilion kepada ekonomi negeri.

“Disebabkan itu momentum ini mesti terus diperhebat apabila Kerajaan Negeri mahu pelancongan Melaka bergerak lebih luas, menjangkau lebih 800 produk pelancongan di seluruh negeri, supaya setiap keunikan
Melaka dapat dilihat, dirasai dan diangkat di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malakka Dutch Festival @ Melaka 2026, di perkarangan Bangunan Stadthuys, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Duta Besar Belanda Ke Malaysia Jacques Werner; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut Ketua Menteri, antara komitmen Kerajaan Negeri dalam memperhebat sektor pelancongan ialah pembukaan semula laluan penerbangan Melaka–Pekanbaru yang mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan hampir 200 penumpang bagi perjalanan pergi dan balik.

“Malah pada masa yang sama, kita sedang mengorak langkah lebih jauh melalui fasa perundingan bersama beberapa syarikat penerbangan termasuk sebuah syarikat penerbangan tambang murah bagi membuka tiga laluan baharu iaitu dari Melaka ke Batam, Melaka ke Kota Bharu dan Melaka ke Pulau Pinang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post SEDEKAD PENGANJURAN MALAKKA DUTCH FESTIVAL