Sorting by

×

LEBIH 300 PROJEK BERNILAI RM40 JUTA RANCAKKAN PEMBANGUNAN DUN SERKAM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERKAM 5 Julai – Pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam terus rancak apabila lebih 300 projek bernilai RM40 juta telah dan sedang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan itu turut disokong dengan pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Seramai 12,579 warga DUN Serkam menerima manfaat menerusi inisiatif MeSRa Kebajikan Masyarakat, membabitkan peruntukan melebihi RM6 juta.

“Tuntasnya, setiap projek dibina, setiap bantuan disalurkan dan setiap program yang dilaksanakan bukanlah untuk dibanggakan semata-mata.

“Sebaliknya, ia adalah satu amanah untuk terus berusaha, terus berikhtiar, terus menyantuni dan terus bekerja keras demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Pantai Siring 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Serkam di Pantai Siring, di sini, semalam.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata segala usaha dilaksanakan adalah berteraskan prinsip Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dengan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat.

“Berteraskan satu tekad di bawah prinsip MeSRa, saya tidak menjanjikan bahawa semua masalah dapat diselesaikan dalam sehari.

“Tetapi saya memberi jaminan, selagi diberikan amanah, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti berusaha, mendengar dan terus bekerja demi rakyat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

621
Kongsi :
Previous post UMBAI JADI TARIKAN PELANCONGAN LUAR BANDAR BERTARAF DUNIA
Next post KERAJAAN NEGERI AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PREMIS PENYEBAB GANGGUAN LALAT