Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PREMIS PENYEBAB GANGGUAN LALAT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MACHAP JAYA 5 Julai – Sebanyak 12 aduan melibatkan bau dan infestasi lalat yang dikaitkan dengan operasi ladang ternakan ayam diterima Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, susulan itu MPAG bersama jabatan serta agensi berkaitan melaksanakan langkah susulan untuk menangani permasalahan yang timbul.

Zulkiflee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning mengakui, kehadiran lalat memberikan kesan kepada kehidupan penduduk di lokasi berkenaan, selain berisiko dijangkiti penyakit dibawa serangga berkenaan.

“Bagi mengatasi masalah lalat ini MPAG bersama jabatan dan agensi berkenaan mengambil tindakan berterusan dan bukan bersifat sementara, dalam tempoh sama sebanyak lima notis penguatkuasaan dikeluarkan mengikut Seksyen 74 dan Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Sementara itu baru-baru ini pula Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengeluarkan kompaun mengikut Seksyen 17 (1) Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Melaka) 2008 atas kesalahan membenar pembiakan lalat atau mahkluk perosak di dalam premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Penutup Kempen Kawalan Infestasi Lalat Tahun 2026 anjuran MPAG di Dewan Terbuka Felda Tun Ghaffar Menggong, di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, Ahli-Ahli Majlis MPAG, wakil jabatan dan agensi kerajaan serta komuniti setempat.

Katanya, tindakan juga diambil oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) menerusi notis pemberitahuan kesalahan mengikut Seksyen 8 Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014 atas kesalahan kolam enapan gagal berfungsi dengan baik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post LEBIH 300 PROJEK BERNILAI RM40 JUTA RANCAKKAN PEMBANGUNAN DUN SERKAM
Next post PEMASANGAN KERANGKA BESI BAHARU SUNGAI MALIM SELESAI