
BATIK MELAKA-BELANDA DILANCARKAN, KETENGAH MOTIF BUNGA KESIDANG DAN TULIP
BANDA HILIR 5 Julai – Malakka Dutch Batik atau Batik Melaka-Belanda yang menggabungkan motif bunga tulip dan bunga kesidang dilancarkan sempena sambutan sedekad Malakka Dutch Festival @ Melaka 2026.
Batik itu diperkenalkan sebagai lambang hubungan erat serta perkongsian warisan budaya antara Melaka dengan Belanda.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun rekaan itu dilihat ringkas namun setiap elemen yang diterapkan membawa makna tersirat yang mendalam.
Beliau berkata, pelancaran batik itu merupakan satu daripada dua acara istimewa sempena Malakka Dutch Festival yang secara keseluruhannya mempunyai 12 acara.
“Menerusi rekaan yang dihasilkan Karl Ho ini ia mengetengahkan gabungan dua elemen ikonik iaitu bunga tulip sebagai simbol Belanda manakala bunga kesidang pula melambangkan identiti Melaka.
“Apabila ia disatukan, kedua-dua elemen ini menggambarkan jalinan persahabatan yang terus mekar berteraskan budaya, rasa saling menghormati serta warisan yang dikongsi bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Malakka Dutch Festival @ Melaka 2026, di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Duta Besar Belanda Ke Malaysia Jacques Werner; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Sementara itu, Nasrul berkata, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka menyambut baik rekaan batik yang dihasilkan khas oleh pereka fesyen antarabangsa itu kerana berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu yang mampu memperkukuh identiti serta mempromosikan warisan budaya Melaka.
“Batik ini berpotensi menjadi produk baharu malah BPP mungkin akan membawa lagi perkara ini kepada Kerajaan Negeri untuk dilihat sama ada bersesusain untuk dipromosikan dengan lebih meluas.
“Saya juga akan berbincang bersama Exco Pelancongan sekiranya boleh kita jadikan Malakka Dutch Batik Design ini produk (pelancongan) kerana pereka fesyen terbabit sudi untuk bantu dan menghasilkan rekaan lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


