
BANJIR LUBUK KASAU: RM800,000 DISALUR, TOK RAUF TERUS IKHTIAR NOKTAHKAN BEBAN PENDUDUK
BEMBAN 9 Julai – Masalah banjir yang membelenggu penduduk Kampung Lubuk Kasau, di sini, telah berjaya dikurangkan sehingga 70 peratus menerusi pelbagai kerja naik taraf yang dilaksanakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan berjumlah RM800,000 telah disalurkan bagi mengatasi masalah banjir berulang termasuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran dan parit yang telah siap sepenuhnya 14 Disember tahun lalu.
Meskipun masalah banjir di kawasan itu telah berkurang, namun beliau mengambil maklum dan cakna terhadap nasib beberapa rumah penduduk yang masih terkesan dengan bencana itu terutama ketika hujan lebat berterusan.
Atas faktor itu, beliau telah mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM50,000 bagi menangani isu banjir yang masih berlaku di beberapa kawasan.
“Kepada warga Lubok Kasau, jangan risau. Saya telah minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk terus turun membantu, meneliti punca sebenar dan menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera.
“Insya-Allah, jika sekarang isu banjir berjaya dikurangkan sehingga 70 peratus, dengan penambahbaikan dilakukan kita berharap masalah ini akan berkurang hingga 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Padang Awam Taman Maju, Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut bersama, Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ab Rauf telah turun sendiri ke Kampung Lubok Kasau bagi meninjau keadaan di kawasan tersebut selain turut bertemu penduduk bagi mendengar keluhan dan pandangan mereka.
Ketua Menteri juga turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan kit makanan bagi membantu meringankan beban penduduk terjejas dengan banjir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


