
SAMBUTAN LUAR BIASA, JELAJAH KETUA MENTERI PASTIKAN TIADA ADUAN RAKYAT TERABAI
BEMBAN 10 Julai – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini sudah turun ke dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Rambai dan Bemban menjadi bukti bahawa kepimpinan negeri pada hari ini benar-benar komited dalam meletakkan agenda keperluan rakyat sebagai keutamaan.
Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan melihat perkembangan aduan-aduan rakyat yang pernah disalurkan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebelum ini, selain pada masa sama turut menyentuh aspek kehidupan rakyat, terutama mereka yang memerlukan.
Beliau memaklumkan, setakat dua siri yang dianjurkan, sambutan yang diterima daripada rakyat di dua DUN amat menggalakkan, sekali gus membuktikan segala inisiatif Kerajaan Negeri benar-benar memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat.
“Siri jelajah ini akan bergerak di kesemua 28 DUN dalam negeri Melaka, di mana ia bukan sahaja turut bersempena WRUR yang bakal diadakan, bahkan turut melibatkan kawasan yang sudah berlangsungnya WRUR sebelum ini.
“Ketua Menteri akan memilih sendiri lokasi tertentu untuk dibuat pemeriksaan mengejut, di mana ini bertujuan untuk memastikan segala masalah atau aduan rakyat diselesaikan sebaiknya.
“Usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Bemban di Padang Awam Taman Maju, Jasin, di sini, semalam.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, siri jelajah itu akan mengekalkan konsep sentuhan rakyat di setiap DUN dan pada masa sama menitikberatkan perkembangan aduan yang pernah disalurkan.
“Seperti contoh di DUN Bemban, Ketua Menteri cakna terhadap masalah banjir yang berlaku selepas mendengar sendiri daripada penduduk terkesan. Atas faktor itu, peruntukan berjumlah RM50,000 telah diumumkan bagi menambah baik ban atau benteng di sungai berkenaan dalam menangani masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


