Sorting by

×

RAKYAT BEMBAN HARGAI KASIH SAYANG KETUA MENTERI

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

BEMBAN 10 Julai – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang singgah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban disifatkan sebagai inisiatif terbaik Kerajaan Negeri kerana membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu dan menyampaikan sendiri permasalahan mereka kepada Ketua Menteri.

Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata, pendekatan yang dibawa Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu amat berbeza berbanding kebiasaan apabila rakyat tidak lagi perlu menunggu sesi tertentu untuk bertemu pemimpin nombor satu negeri itu.

Menurut beliau, kehadiran Ketua Menteri sendiri ke kawasan-kawasan DUN bagi bertemu rakyat membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyantuni masyarakat dan menyelesaikan permasalahan mereka.

“Sebelum ini kalau rakyat mahu berjumpa Ketua Menteri, mereka perlu hadir ke program tertentu atau Hari Bertemu Rakyat. Namun menerusi jelajah ini, Ketua Menteri sendiri turun padang untuk bertemu rakyat.

“Ini satu perkara yang amat baik dan impaknya cukup besar. Masyarakat di Bemban berasa gembira dan puas hati kerana dapat bertemu secara bersemuka dengan Ketua Menteri serta menyampaikan sendiri pandangan dan masalah mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Bemban di Padang Awam Taman Maju, Jasin, di sini, semalam.

Beliau berkata, pelbagai manfaat turut dinikmati penduduk menerusi siri jelajah itu, termasuk bantuan kepada penjaja kecil, rumah ibadat dan golongan memerlukan.

Katanya, menerusi Dana Penjaja yang diperkenalkan Kerajaan Negeri, seramai 100 penjaja dan usahawan kecil di DUN Bemban menerima manfaat daripada peruntukan berjumlah RM50,000.

“Selain itu, bantuan turut disalurkan kepada surau-surau, kuil dan rumah ibadat lain di kawasan ini. Kita tahu surau tidak mempunyai sumber kewangan seperti masjid, jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos utiliti dan pengurusan.

“Bukan itu sahaja, anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta penduduk yang memerlukan bantuan baik pulih rumah turut menerima manfaat hasil keprihatinan Kerajaan Negeri,” katanya.

Mengulas isu banjir di Kampung Lubok Kasau, Mohd Raziff berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu, termasuk peruntukan RM800,000 yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut berjaya menyelesaikan kira-kira 80 peratus masalah banjir di kawasan berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu yang memerlukan tindakan susulan.

“Atas sebab itu, Ketua Menteri mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan seperti pembinaan pintu air dan pengukuhan benteng yang dikenal pasti.

“Insya-Allah, usaha ini dapat membantu menoktahkan isu banjir yang sudah lama membelenggu penduduk Kampung Lubok Kasau,” katanya.

Mohd Raziff turut berharap program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia memberi impak besar kepada rakyat.

“Apa yang lebih membanggakan, ramai rakyat termasuk golongan muda sanggup meluangkan masa dan mengambil cuti semata-mata untuk bersama Ketua Menteri. Ini membuktikan program ini diterima baik dan amat dekat di hati rakyat,” katanya.

Menurut beliau, sambutan luar biasa yang diterima sepanjang siri jelajah di DUN Bemban menjadi bukti bahawa rakyat menghargai pendekatan kepimpinan yang mengutamakan kebajikan dan sentiasa turun padang mendengar denyut nadi masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN LUAR BIASA, JELAJAH KETUA MENTERI PASTIKAN TIADA ADUAN RAKYAT TERABAI
Next post TOK RAUF SUMBANG JENGKAUT MINI MUDAHKAN URUSAN PENGEBUMIAN DI KAMPUNG LADANG