Sorting by

×

EKOPELANCONGAN SUNGAI KESANG DIBERI NAFAS BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

SUNGAI RAMBAI 10 Julai – Keindahan semula jadi Sungai Kesang bakal diberi nafas baharu menerusi pembangunan ekopelancongan, sekali gus membuka lembaran baharu kepada ekonomi penduduk di Sungai Rambai.

Projek yang menerima peruntukan hampir RM4 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bakal merancakkan pembangunan infrastruktur pelancongan di pesisiran Sungai Kesang termasuk menaik taraf kemudahan sedia ada.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, Sungai Kesang mempunyai keunikan tersendiri kerana bukan sahaja menawarkan panorama alam yang indah, malah kaya dengan nilai sejarah, warisan serta biodiversiti bernilai tinggi.

Menurutnya, potensi itu membolehkan Sungai Kesang diketengahkan sebagai antara produk ekopelancongan utama negeri, selaras dengan peningkatan minat pelancong terhadap destinasi berasaskan alam semula jadi.

“Projek ini bukan sekadar membina infrastruktur pelancongan tetapi mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana selain memberi limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MPJ Bersama Komuniti @ Sungai Rambai dan Taklimat Projek Pembangunan Ekopelancongan Pesisiran Sungai Kesang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd. Azis; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Zulkiflee berkata pembangunan produk eko pelancongan itu merupakan hasil kerjasama MPJ, MOTAC dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

“Setakat ini kawasan rekreasi ini sudah mempunyai beberapa kemudahan asas seperti dataran, taman permainan, kawasan riadah dan lampu solar.

“Apabila projek ini siap sepenuhnya nanti, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati keindahan Sungai Kesang, malah pelbagai aktiviti riadah dan ekopelancongan dapat diperkenalkan sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata kedudukan strategik Sungai Rambai sebagai pintu masuk selatan Melaka dari arah Negeri Johor juga memberi kelebihan untuk menarik lebih ramai pelancong, khususnya keluarga yang ingin bercuti dalam tempoh singkat.

“Penduduk Johor yang berhampiran boleh datang beriadah bersama keluarga di Sungai Kesang selepas ini.

“Kita mahu kawasan ini menjadi satu lagi tarikan pelancongan yang mampu menghidupkan ekonomi penduduk dan memperkenalkan keunikan Sungai Rambai kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

266
Kongsi :
Previous post 92 PERATUS ADUAN RAKYAT KUALA LINGGI BERJAYA DISELESAIKAN
Next post KETUA MENTERI SENTUH HATI RAKYAT KUALA LINGGI