Sorting by

×

KETUA MENTERI SENTUH HATI RAKYAT KUALA LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KUALA LINGGI 10 Julai – Pelbagai inisiatif dan bantuan disalurkan kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan yang diberi meliputi pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, keusahawanan, pengurusan komuniti dan kesejahteraan golongan asnaf.

Menurut beliau, antara sumbangan yang disalurkan ialah sebuah jengkaut mini (mini excavator) bernilai RM20,000 kepada Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang bagi melancarkan urusan pengurusan dan penyelenggaraan tanah perkuburan.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut menziarahi serta menghulur sumbangan berjumlah RM8,500 kepada tiga keluarga yang berdepan ujian kesihatan sebagai tanda keprihatinan.

“Keprihatinan kerajaan tidak terhenti di situ. Sebaliknya, pelbagai lagi bantuan dan inisiatif turut disalurkan bagi memberi manfaat secara langsung kepada segenap lapisan komuniti di Kuala Linggi.

“Antaranya sumbangan peralatan gotong-royong bernilai RM500 kepada Pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI), selain 20 unit khemah perniagaan bernilai RM3,600 kepada para usahawan kecil,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Kuala Linggi.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Dalam bidang pendidikan, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan Biasiswa Melaka dan Sumbangan BIJAK SPM kepada 253 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat dan 60 pelajar Sekolah Menengah Arab Jabatan Agama Islam Melaka Darul Falah, melibatkan peruntukan keseluruhan RM47,000.

Beliau berkata, sumbangan turut diberikan kepada 51 asnaf DUN Kuala Linggi berjumlah RM5,100, selain peruntukan RM40,000 bagi kerja baik pulih lapan rumah asnaf.

Menurutnya, segala bantuan yang disalurkan bukan untuk dibanggakan, sebaliknya ia menjadi bukti komitmen pentadbiran negeri memastikan setiap inisiatif mampu membawa sinar harapan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Sama ada bantuan kepada usahawan kecil, kemudahan untuk komuniti mahupun baik pulih rumah asnaf, semuanya membawa matlamat yang sama, iaitu supaya tiada siapa yang tercicir daripada arus pembangunan Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post EKOPELANCONGAN SUNGAI KESANG DIBERI NAFAS BAHARU
Next post TOK RAUF SUMBANG PERALATAN PERNIAGAAN, PRIHATIN KESUKARAN PENIAGA KECIL