
TOK RAUF SUMBANG PERALATAN PERNIAGAAN, PRIHATIN KESUKARAN PENIAGA KECIL
KUALA LINGGI 10 Julai – Seramai lima peniaga kecil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi menerima sumbangan peralatan perniagaan daripada Kerajaan Negeri sebagai tanda keprihatinan atas kesukaran dilalui golongan tersebut.
Sumbangan peralatan seperti khemah, kerusi dan meja lipat kepada penerima diserahkan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Program Santai Bersama Masyarakat Kampung Kuala Linggi bersempena siri ketiga Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Kuala Linggi di Fort Supai, hari ini.
Ketua Menteri berharap sumbangan kecil itu dapat menyuntik semangat buat semua penerima berkenaan untuk terus maju dalam perniagaan yang diusahakan.
“Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini merupakan susulan daripada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang mana kita (Kerajaan Negeri) akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat (DUN) untuk menyantuni seberapa ramai golongan yang bekeperluan.
“Bukan sekadar turun padang menyantuni rakyat, sebaliknya menjadi platform Kerajaan Negeri mendengar secara langsung suara, pandangan, keperluan dan permasalahan masyarakat,” katanya ketika berucap pada program itu.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, maklum balas yang diterima daripada masyarakat setempat akan dijadikan asas kepada penyelesaian serta pelaksanaan dasar yang lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Pendekatan ini membolehkan kita menilai sendiri pandangan, cadangan serta isu yang dibangkitkan rakyat sebelum tindakan penyelesaian dilaksanakan.
“Hasil dapatan sepanjang program itu akan menjadi asas kepada perancangan pembangunan dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


