
‘KETUA MENTERI BUKAN HANYA DENGAR CERITA, TAPI TURUN BANTU RAKYAT’
BEMBAN 10 Julai – Setiap kali awan mendung dan hujan mula turun, hati Leha Ludin, 67, pasti diselubungi kebimbangan apabila air menitis daripada bumbung rumah usang yang didiaminya bersama suami sejak hampir tiga dekad lalu.
Namun, kebimbangan yang sekian lama menghantui pasangan warga emas itu akhirnya berakhir apabila mereka menerima sumbangan baik pulih rumah bernilai RM15,000 menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Sumbangan itu nyata memberi sinar baharu buat Leha dan suami, Junaidy Salleh Teoh, 68, apabila rumah yang didiami sejak tiga dekad lalu kini lebih selesa dan selamat.
Menurut Leha, keadaan atap zink rumah mereka semakin uzur dan mengalami kebocoran setiap kali hujan menjadi cabaran yang terpaksa ditempuhi sejak sekian lama.
“Rumah ini sudah berusia hampir 30 tahun dan banyak atap zink yang sudah rosak. Kalau hujan, bahagian dapur memang habis bocor dan kami terpaksa letak bekas untuk tadah air.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana Ketua Menteri sudi singgah ke rumah kami dan membantu menyalurkan sumbangan bagi baik pulih rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Leha dan suaminya menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Program Penyerahan Sumbangan Kepada Penerima Bantuan Baik Pulih Rumah di kediaman mereka di Pondok Kempas, di sini, semalam.

Menurut Leha, bantuan yang diterima bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah memberi ketenangan kepada dirinya dan suami yang sebelum ini sentiasa bimbang setiap kali musim hujan.
“Selepas ini, saya harap tak perlu lagi risau setiap kali hujan turun. Paling penting, rumah kami akan jadi lebih selesa dan selamat untuk didiami,” katanya.
Lebih mengharukan, Leha mengakui tidak pernah menyangka rumahnya menjadi antara lokasi yang diziarahi Ketua Menteri, apatah lagi dapat bertemu dan berbual secara bersemuka dengan pemimpin nombor satu negeri itu.
“Saya selalu tengok Ketua Menteri ziarah rakyat, tetapi tidak sangka pula kali ini beliau datang ke rumah kami. Perasaan itu memang seronok dan terharu. Bila ramai yang datang melawat dan mengambil tahu keadaan kami, rasa bersyukur sangat kerana masih ada yang prihatin dengan nasib kami,” katanya.
Tambahnya, program turun padang seperti Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kesusahan dan masalah mereka tidak dipinggirkan.
“Bila pemimpin sendiri datang tengok keadaan rumah, kita rasa dihargai dan didengari. Program seperti ini memang bagus kerana mereka bukan hanya mendengar cerita, tetapi melihat sendiri keadaan rakyat dan terus membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


