Sorting by

×

92 PERATUS ADUAN RAKYAT KUALA LINGGI BERJAYA DISELESAIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KUALA LINGGI 10 Julai – Sebanyak 92 peratus aduan rakyat yang direkodkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi tahun lalu berjaya diselesaikan, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap permasalahan rakyat diberi perhatian dan tindakan segera.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada 170 aduan yang diterima, sebanyak 156 aduan telah diselesaikan hasil kerjasama erat antara wakil rakyat dan seluruh agensi serta jabatan kerajaan.

Menurut beliau, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi bukti bahawa pendekatan turun padang dan mendengar sendiri keluhan rakyat mampu menghasilkan penyelesaian yang berkesan.

“Apabila kita benar-benar mendengar, sudah tentu kita mesti bertindak. Apabila kita benar-benar turun padang, sudah tentu rakyat berhak melihat hasilnya.

“Bagi saya, angka 92 peratus ini bukan sekadar pencapaian, tetapi satu amanah untuk kita terus memastikan setiap isu yang masih berbaki diberikan perhatian sehingga benar-benar selesai,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Kuala Linggi di Masjid Al Hasaniah Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pemimpin tidak boleh menunggu rakyat datang membawa masalah, sebaliknya perlu turun menemui rakyat bagi memahami realiti kehidupan mereka.

Beliau turut menegaskan budaya kerja pentadbiran negeri mesti berteraskan tindakan, dengan setiap aduan disiasat, setiap isu diambil perhatian dan setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian.

“Kerana akhirnya rakyat tidak menghitung berapa banyak program yang kerajaan anjurkan, tetapi rakyat mengingati sama ada masalah mereka selesai ataupun tidak. Itulah ukuran sebenar sebuah kerajaan yang berkhidmat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post KEPRIHATINAN TOK RAUF SENTUH HATI ORANG BEMBAN
Next post EKOPELANCONGAN SUNGAI KESANG DIBERI NAFAS BAHARU