Sorting by

×

KEPRIHATINAN TOK RAUF SENTUH HATI ORANG BEMBAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BEMBAN 10 Julai – Pendekatan turun padang menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat terus mendapat sambutan hangat penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang menyifatkan inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Penduduk Lipat Kajang, S. Amaiyaparthevar berkata, kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop sentiasa dekat dengan masyarakat dan pantas menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, pelbagai bantuan telah diterima masyarakat India di kawasan itu, termasuk bantuan ziarah kasih, kebajikan, kematian dan keperluan perubatan.

“Apa sahaja masalah yang kami hadapi akan dibantu. Bila ada kematian, mereka hadir. Bila ada orang sakit di hospital, mereka datang menziarah, begitu juga kematian, majlis perkahwinan dan upacara keagamaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Bemban di Padang Taman Maju, Jasin, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amaiyaparthevar turut berterima kasih apabila tujuh kuil berdaftar di DUN Bemban menerima sumbangan daripada Ketua Menteri.

“Saya baru menghantar nama tujuh kuil semalam dan hari ini bantuan sudah disampaikan. Pengerusi-pengerusi kuil sendiri terkejut kerana bantuan dapat disalurkan dengan begitu cepat,” katanya.

Sementara itu, peniaga di Kampung Tehel, Muhammad Azri Yusof, 34, turut menyatakan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana menyalurkan bantuan berbentuk peralatan berjumlah RM100,000 kepada 100 penjaja dan usahawan kecil di Bemban di bawah Dana Penjaja.

“Memang bersyukur kerana nasib penjaja kecil mendapat perhatian Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri. Ia menunjukkan Kerajaan Negeri hari ini amat mesra rakyat rakyat.

“Program seperti ini memang amat bagus dan orang Bemban mengharapkan lebih banyak program seperti ini diadakan kerana rakyat dapat bertemu secara langsung dengan Ketua Menteri bagi menyalurkan pelbagai masalah,” katanya.

Anak muda, A. Shaarmini pula menyifatkan komitmen pentadbiran Ketua Menteri jelas menunjukkan kualiti seorang pemimpin yang diinginkan rakyat.

“Kami berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Penyelaras DUN Bemban kerana banyak membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Bagi saya, itulah kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin, iaitu sentiasa membantu rakyat tanpa membezakan kaum dan warna kulit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post TOK RAUF SUMBANG JENGKAUT MINI MUDAHKAN URUSAN PENGEBUMIAN DI KAMPUNG LADANG
Next post 92 PERATUS ADUAN RAKYAT KUALA LINGGI BERJAYA DISELESAIKAN