Sorting by

×

DUN KUALA LINGGI BERPOTENSI JADI HAB EKONOMI, PENDIDIKAN BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LINGGI 10 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dijangka akan berkembang sebagai antara kawasan ekonomi dan pendidikan baharu di Melaka menerusi pelbagai projek pembangunan strategik yang bakal dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan lokasi dan geografinya DUN Kuala Linggi sesuai bagi aktiviti sektor maritim, perindustrian, logistik dan pelancongan yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, pembangunan yang dirancang bukan sahaja meningkatkan kemajuan kawasan, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Akan datang kita akan bina Politeknik Melaka dalam DUN Kuala Linggi. Apa yang kita lakukan hari ini adalah menyediakan masa depan kepada anak-anak kita.

“Pembangunan ini akan membuka peluang pekerjaan baharu serta merancakkan ekonomi Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Masyarakat Kuala Linggi dalam siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Fort Supai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, segala perancangan pembangunan di DUN Kuala Linggi itu bagi memastikan generasi muda menikmati peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri tidak mahu pembangunan hanya memberi manfaat kepada masa kini, sebaliknya menjadi asas kepada masa depan anak-anak Melaka.

“Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post ‘KETUA MENTERI BUKAN HANYA DENGAR CERITA, TAPI TURUN BANTU RAKYAT’
Next post TAWARAN TENDER PASAR BESAR MELAKA BAKAL DIBUKA DALAM TEMPOH SEBULAN