Sorting by

×

HADIAH ISTIMEWA TOK RAUF UNTUK ‘PENIAGA KAMPUNG’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MERLIMAU 17 Julai – Selepas lebih sedekad menggunakan motosikal roda tiga yang uzur untuk mencari rezeki, seorang peniaga ikan dan sayur akhirnya menarik nafas lega apabila menerima sumbangan sebuah kenderaan baharu hasil keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Othman Husin, 60, dari Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal berkata, dia sudah menjalankan perniagaan secara bergerak dengan motosikal roda tiga sejak 20 tahun lalu dan ia menjadi sumber rezeki halal untuk menyara keluarga.

Namun, setelah sekian lama berbakti, motosikal roda tiga dimilikinya semakin usang dan kerap rosak menyebabkan ada masanya ia memberi kesukaran untuk keluar mencara rezeki.

“Sejak sekian lama, memang motosikal roda tiga menjadi kenderaan pembawa rezeki buat saya berniaga ikan dan sayur di sekitar Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau, Durian Tunggal.

“”Melihat keadaan motosikal yang semakin uzur, saya memberanikan diri memohon bantuan daripada Ketua Menteri dan tidak sangka permohonan itu dimakbulkan. Saya sangat bersyukur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan itu yang disampaikan sendiri Ketua Menteri pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di Masjid Jamek Ar-Rahim Merlimau, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2026 07 17 at 6.38.21 PM
OTHMAN melihat ‘hadiah’ istimewa yang diterimanya daripada Ketua Menteri.

Menurutnya, sumbangan itu bukan sahaja memudahkan urusan mencari rezeki, malah menyuntik semangat baharu untuknya terus berniaga.

“Bila ada motosikal roda tiga baharu ini memang sangat membantu. Saya boleh meneruskan perniagaan seperti biasa dan lebih mudah bergerak menjual ikan serta sayur kepada penduduk kampung,” ujarnya.

Othman turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas keprihatinan terhadap nasib rakyat, khususnya golongan peniaga kecil.

“Saya sangat berterima kasih kepada Tok Rauf kerana sepanjang memimpin negeri ini beliau menyerlahkan sisi-sisi seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat tentang kesusahan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post PERBEZAAN POLITIK BUKAN MEDAN PERMUSUHAN, AB RAUF TERIMA KEPUTUSAN PH DENGAN HATI TERBUKA
Next post WRUR MERLIMAU BAWA SINAR BAHARU BUAT MUALAF MAIM