
‘STOM’ BUKTI MELAKA TELUS, PERKASA INTEGRITI PEROLEHAN AWAM
BANDARAYA MELAKA 29 Julai – Pelaksanaan Sistem Tender Online Melaka (STOM) menjadi antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ketelusan serta integriti pengurusan perolehan awam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, STOM merupakan platform digital berpusat menyediakan kemudahan pengiklanan tender dan sebut harga, pendaftaran syarikat, pembelian dokumen serta penerbitan maklumat berkaitan perolehan.
“Pelaksanaan sistem ini adalah antara langkah diambil Kerajaan Negeri bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan akauntabiliti dalam pentadbiran awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-22 Tahun 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Melaka amat berbesar hati apabila dipilih sebagai tuan rumah Mesyuarat Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 Tahun 2026, sekali gus menjadi medan memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha membanteras rasuah.
Katanya, kehadiran para delegasi dari negara-negara ASEAN bukan sahaja mencerminkan eratnya hubungan persahabatan serantau, malah membawa mesej jelas bahawa negara-negara ASEAN berdiri teguh dan bersatu dalam mempertahankan integriti serta memerangi rasuah.
Menurut beliau, jenayah rasuah tidak boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama rentas sempadan yang kukuh bagi mempercepatkan perkongsian maklumat, mempererat hubungan antara institusi antirasuah serta memperkukuh tindak balas kolektif.
“Justeru, platform ASEAN-PAC memainkan peranan penting kerana menghimpunkan institusi antirasuah daripada kesemua 11 negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama dan memastikan tiada ruang selamat bagi amalan rasuah di rantau ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


