
55,000 PEMILIK HARTA TERIMA EBILL MPAG
ALOR GAJAH 30 Julai – Seramai 55,000 pemilik harta di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kini boleh menikmati urusan pembayaran cukai taksiran yang lebih mudah, pantas dan efisien menerusi pelaksanaan sistem eBill yang diperkenalkan mulai 1 Julai lalu.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pelaksanaan eBill merupakan inisiatif pendigitalan perkhidmatan majlis yang menggantikan bil cukai taksiran bercetak kepada bil digital bagi memudahkan urusan pembayar cukai.
Beliau berkata, menerusi sistem itu, pemilik harta tidak lagi perlu hadir ke MPAG untuk membuat semakan dan pembayaran memandangkan ia boleh dilakukan secara hujung jari pada bila-bila masa.
“Pelaksanaan eBill bukan sahaja memudahkan urusan pembayar cukai, malah menjimatkan kos operasi dan mempercepatkan penyampaian bil kepada pemilik harta.
“Masyarakat kini boleh menyemak maklumat harta serta membuat pembayaran dengan lebih mudah, cepat dan selamat dari rumah atau di mana-mana sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, pemilik harta boleh menyemak, memuat turun dan mencetak semula bil cukai taksiran menerusi portal MPAGPay (https://portal.mpag.gov.my/gerbangmpag) dengan hanya memasukkan nombor akaun cukai taksiran berserta simbol sengkang (-).
Katanya, selain MPAGPay, pembayaran turut boleh dibuat secara dalam talian menerusi PBTPay, MelakaPay, Maybank2u dan Pos Online.
“Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran secara bersemuka, kemudahan itu turut disediakan di kaunter MPAG, Pejabat Pos, Kaunter Bayaran UTC, Pejabat Cawangan Masjid Tanah serta Pejabat Cawangan Pulau Sebang,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh akhir pembayaran, TPr. Saifuddin berkata, pemilik harta diingatkan supaya menjelaskan cukai taksiran selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini bagi mengelakkan dikenakan fi denda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


