
MESRA PENDIDIKAN SUNTIK RM15 JUTA UNTUK ANAK MELAKA
DURIAN TUNGGAL 30 Julai – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM15 juta menerusi Inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pendidikan tahun ini sebagai komitmen berterusan memperkasa agenda pendidikan serta memastikan setiap anak Melaka mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, sebahagiannya disalurkan bagi pemberian insentif kepada 590 pelajar cemerlang yang diraikan pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Tahun 2026.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut menyampaikan insentif RM10,000 kepada dua penerima Anugerah Sekolah Cemerlang, iaitu Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Francis sebagai penghargaan atas kecemerlangan mengharumkan nama Melaka.
“Berpaksikan gagasan Melaka Sayang Rakyat, di bawah pentadbiran saya, tekad kita jelas, setiap anak Melaka mesti diberikan peluang untuk belajar, ruang untuk mengembangkan bakat dan laluan untuk mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia dan Huffaz Negeri Melaka Tahun 2025 di Dewan Canseleri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pentadbiran negeri berpegang teguh kepada prinsip bahawa pendidikan merupakan pelaburan paling bernilai dalam membentuk masa depan negeri.
Atas dasar itu, ujar beliau, sepanjang tiga tahun menerajui pentadbiran negeri sejumlah lebih RM196 juta telah disalurkan bagi pembangunan sekolah, bantuan pendidikan dari peringkat bayi hingga universiti serta pelaksanaan program pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada lebih 140,000 anak Melaka.
“Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri turut memperkukuh ekosistem pendidikan menerusi pemerkasaan 61 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negeri serta memperluaskan agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


