
MELAKA BUKA LALUAN KERJAYA PENERBANGAN BUAT ANAK B40
KESIDANG 30 Julai – Seramai 20 anak Melaka daripada golongan B40 menerima tajaan latihan bernilai hampir RM10 juta daripada International Aero Training Academy (IATAC) bagi membuka peluang membina kerjaya dalam industri penerbangan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu bukan sekadar program tajaan tetapi pelaburan strategik untuk mencungkil bakat, membina potensi dan membuka laluan kerjaya dalam dunia penerbangan khusus buat anak-anak Melaka.
“Untuk kumpulan pertama ini seramai empat orang daripada keseluruhan 20 anak Melaka akan menerima tajaan penuh latihan kadet juruterbang daripada IATAC
“Manakala baki 16 tempat lagi akan dibuka kepada anak-anak Melaka lain menerusi proses pemilihan pada tahun hadapan. Saya berharap selepas ini kita akan mencari lagi dan menilai tentang kemampuan anak-anak B40 untuk menjadi juruterbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Orientasi Program Tajaan Kadet Juruterbang Anak Melaka B40, di IATAC Batu Berendam, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap Kean Foo.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri menyambut baik komitmen IATAC kerana memberi peluang kepada anak Melaka yang berpotensi untuk mengikuti latihan profesional meskipun berdepan keterbatasan kewangan.
“Pembiayaan pendidikan daripada IATAC ini adalah rasa tanggungjawab terhadap warga Melaka kerana mereka telah bertapak lama di negeri ini.
“Mewakili Kerajaan Negeri saya merakamkan penghargaan dan setulus terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan serta warga IATAC kerana memberikan kepercayaan serta peluang yang begitu besar kepada anak Melaka,” katanya .
Sementara itu, menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri turut berbesar hati apabila sebuah institusi pengajian tinggi swasta turut mengemukakan cadangan kerjasama untuk menyediakan tajaan pengajian dalam bidang kejururawatan kepada 30 anak Melaka.
“Ruang ini tanggungjawab Kerjaaan Negeri dalam memberi peluang yang sebaik mungkin kepada anak-anak muda Melaka untuk melakar masa depan yang terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


