LEBIH 6,000 PESERTA JAYAKAN SUKAN DUA JIWA SATU HATI, BADAN BERUNIFORM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SUNGAI UDANG 1 Ogos – Penganjuran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati & Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 merekodkan lebih 6,000 penyertaan dalam pelbagai acara dipertandingkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain memburu kejuaraan kejohanan itu melakar pelbagai kisah keberanian, pengorbanan, ketabahan dan persahabatan sepanjang dua minggu gelanggang dibuka.

“Ada yang muncul sebagai juara, ada yang terpaksa akur dengan kekalahan, ada yang berjuang sehingga ke mata terakhir…Malah saya difahamkan, ada juga yang belum sempat bertanding, tetapi sudah mencari
minyak angin.

“Hakikatnya itulah warna-warni dunia sukan. Ada menangnya, ada kalahnya, ada debarannya dan ada juga gelak tawanya. Namun, yang paling penting, setiap peserta telah turun ke gelanggang dan memberikan yang terbaik demi pasukan masing-masing,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati & Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Pavilion Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin diiringi isteri, Datin Ernie Aidilia Karim; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Tentera Darat Malaysia, khususnya seluruh warga Kem Terendak, barisan urus setia serta semua pihak yang telah berganding bahu sejak awal persiapan sehingga kedua-dua kejohanan ini berjaya disempurnakan dengan begitu meriah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post MAPEX 2026 PUSAT SEHENTI BANTU RAKYAT BELI RUMAH DENGAN BIJAK
Next post SUKAN WADAH PENYATUAN RAKYAT, TENTERA DAN ANGGOTA BADAN BERUNIFORM