MAPEX 2026 PUSAT SEHENTI BANTU RAKYAT BELI RUMAH DENGAN BIJAK

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) Kali Ke-2 2026 adalah pusat sehenti membantu rakyat membuat keputusan lebih bijak sebelum membeli kediaman.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka Datuk TPr. Murad Husin berkata, penganjuran MAPEX setiap tahun itu dilihat bukan sekadar platform mempromosikan projek hartanah di negeri ini tetapi selaras tema ‘A Better Home for A Better Tomorrow’.

Katanya, ekspo itu juga memberi peluang kepada orang ramai memahami keseluruhan proses pemilikan rumah, termasuk aspek kewangan dan komitmen jangka panjang.

“Pembeli tidak seharusnya membuat keputusan hanya berdasarkan promosi atau reka bentuk sesebuah kediaman, sebaliknya perlu mendapatkan maklumat lengkap sebelum menandatangani sebarang perjanjian pembelian.

“MAPEX telah menjadi pusat sehenti yang membantu rakyat memahami proses pembelian rumah, menilai kemampuan kewangan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.

“Gunakan peluang ini untuk mendapatkan penerangan secara terus daripada pemaju dan institusi kewangan, membandingkan tawaran pembiayaan serta memilih rumah mengikut kemampuan dan keperluan jangka panjang keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MAPEX Melaka Kali Ke-2 2026 di sebuah pusat membeli-belah, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2026 Datuk Tay Chor Han dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, TPr. Murad berkata, MAPEX Melaka 2026 menghimpunkan 17 pemaju swasta di bawah satu bumbung dengan sokongan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka serta Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai rakan strategik, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pemilikan rumah di satu lokasi.

Dalam pada itu, beliau berharap institusi kewangan dapat memperluaskan pilihan pembiayaan yang lebih fleksibel, telus dan bersesuaian, khususnya bagi membantu pembeli rumah pertama, golongan muda serta keluarga berpendapatan rendah dan sederhana merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.

“Langkah dan usaha ini penting bagi memastikan lebih ramai rakyat bukan sahaja mempunyai akses kepada pilihan rumah yang sesuai.

“Malah mampu membuat keputusan pembelian secara yakin dan bertanggungjawab, selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera melalui pemilikan rumah yang mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post PPSPM TAWAR SUASANA PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN, PUPUK SEMANGAT CINTAKAN SEJARAH
Next post LEBIH 6,000 PESERTA JAYAKAN SUKAN DUA JIWA SATU HATI, BADAN BERUNIFORM