
PPSPM TAWAR SUASANA PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN, PUPUK SEMANGAT CINTAKAN SEJARAH
BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Seramai 120 murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai menyertai Program Lawatan Sambil Belajar di Melaka River Cruise, Pengkalan Rama, di sini, pada Rabu.
Guru pengiring, Muhammad Aswad Basri berkata, program itu bertujuan untuk memberi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah kepada murid menerusi pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Katanya, aktiviti disusun sepanjang program juga berkenaan memberi nilai tambah kepada pembelajaran murid kerana mereka dapat melihat sendiri lokasi dan mercu tanda bersejarah sepanjang pelayaran menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot Melaka River Cruise.
“Berbeza dengan pembelajaran dalam bilik darjah kaedah ini lebih menyeronokkan dan menarik minat murid. Program ini adalah hasil kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Melaka.
“Pakej lawatan disediakan membuka ruang kepada murid untuk mengenali sejarah, warisan dan pembangunan Bandaraya Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Muhammad Aswad juga berpuas hati dengan aktiviti yang disusun oleh pihak penganjur dan diharapkan dapat menyemai semangat cintakan warisan, memupuk nilai kerjasama selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan memelihara sejarah serta alam sekitar.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha PPSPM memperluaskan pembelajaran berasaskan pengalaman kepada kira-kira 9,000 pelajar sekolah rendah di seluruh Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

