
TOK RAUF UMUM RM1 JUTA BAIK PULIH SISTEM BEKALAN AIR DAN JALAN ROSAK DI KEM TERENDAK
SUNGAI UDANG 1 Ogos – Peruntukan sebanyak RM1 juta disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih sistem bekalan air dan jalan rosak di Kem Terendak sebagai usaha mengatasi isu kemudahan asas yang telah sekian lama dihadapi warga kem berkenaan.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Pavilion, Kem Terendak, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pengumuman itu pada sidang media program sama, Ab Rauf berkata, peruntukan itu disalurkan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri dan pengurusan Kem Terendak selepas mengenal pasti beberapa isu yang sekian lama dihadapi di kem berkenaan.
Menurut Ketua Menteri, Kem Terendak merupakan antara kem tentera yang telah lama dibina sebelum negara mencapai kemerdekaan dan memerlukan perhatian terhadap aspek kemudahan asas.
“Kita melihat bahawa terdapat beberapa masalah yang telah diwarisi sejak berpuluh-puluh tahun kerana kem ini merupakan sebuah kem lama yang usianya telah lama sejak sebelum merdeka lagi, yang diberikan kepada pihak British kepada kita.
“Pastinya banyak perkara yang perlu diberikan perhatian, namun Kerajaan Negeri prihatin dan memohon kerjasama dengan MINDEF (Kementerian Pertahanan) supaya Kerajaan Negeri dapat menghulurkan bantuan,” katanya.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin diiringi isteri, Datin Ernie Aidilia Karim; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi membaik pulih paip bekalan air serta menyediakan tangki-tangki air kecemasan untuk kegunaan warga Kem Terendak.
“Justeru, kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk memperbaiki paip air dan jalan-jalan rosak serta menyediakan tangki-tangki air kecemasan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


