KEJOHANAN SUKAN MANIFESTASI PENGHARGAAN KERAJAAN NEGERI BUAT WARGA BADAN BERUNIFORM

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

SUNGAI UDANG 1 Ogos – Penganjuran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 menjadi manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta pengorbanan pasukan badan beruniform di negeri ini yang sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kejohanan itu bukan sekadar platform pertandingan sukan malah menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota tentera dan pelbagai pasukan badan beruniform di negeri ini.

Menurut beliau, hubungan yang terjalin menerusi penganjuran kejohanan berkenaan membolehkan setiap agensi lebih mengenali serta memahami peranan masing-masing.

Selain itu katanya, penganjuran sukan itu sekali gus memupuk semangat saling menghormati dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Ini adalah satu manifestasi Kerajaan Negeri kepada mereka yang telah berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Kita raikan mereka dalam satu acara sukan untuk mereka saling mengenali, menyambungkan tali silaturahim dan persahabatan dengan lebih erat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Pavilion, Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin diiringi isteri, Datin Ernie Aidilia Karim; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, penganjuran kejohanan itu turut membuka ruang kepada warga Kem Terendak untuk bersama-sama memeriahkan program apabila isteri-isteri anggota tentera serta anak-anak yang bersekolah di kem berkenaan turut mengambil bahagian dalam pelbagai pengisian yang disediakan.

Katanya, memandangkan tuan rumah kejohanan sukan terbabit diadakan di Kem Terendak, mereka bukan sahaja hadir memeriahkan majlis malah mempersembahkan tarian tradisional termasuk Zapin Seribu pada malam kebudayaan yang diadakan bersempena kejohanan itu.

“Ini bukan sahaja peluang kepada anggota tentera tetapi juga kepada isteri-isteri tentera dan anak-anak yang bersekolah di Kem Terendak untuk turut bersama-sama menjayakan program yang dianjurkan.

“Ia sekali gus menjadi platform mengetengahkan bakat baru yang boleh diketengahkan pada masa hadapan,”katanya.

Beliau berkata, penglibatan anggota badan beruniform bersama keluarga dalam kejohanan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh hubungan antara agensi keselamatan selain menghargai sumbangan mereka dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negeri terus terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post TOK RAUF UMUM RM1 JUTA BAIK PULIH SISTEM BEKALAN AIR DAN JALAN ROSAK DI KEM TERENDAK