
MELAKA TERUSKAN KEJOHANAN SUKAN BADAN BERUNIFORM
SUNGAI UDANG 1 Ogos – Penganjuran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka akan diteruskan dengan cadangan melibatkan badan-badan beruniform lain sebagai tuan rumah pada edisi akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran kejohanan itu diadakan sejak tahun lalu pada siri pertama serta siri kedua tahun ini namun pemilihan lokasi serta tarikh pada siri ketiga akan ditentukan mengikut kesesuaian.
Menurut beliau, kejohanan berkenaan tidak akan terhenti setakat penganjuran tahun ini memandangkan ia berjaya menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara pasukan badan beruniform di negeri ini.
“Program ini pasti diteruskan dalam siri kedua telah dilaksanakan. Siri ketiga mungkin kita akan fikirkan bila masa yang terbaik dan sesuai untuk kita laksanakan.
“Pastinya ia tidak terhenti di sini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Pavilion, Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin diiringi isteri, Datin Ernie Aidilia Karim; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan badan-badan beruniform lain untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran akan datang.
Ketua Menteri berkata, antara yang berpotensi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tertakluk kepada kesesuaian kemudahan yang boleh dimanfaatkan bagi menjayakan kejohanan itu.
“Mungkin selepas ini badan-badan beruniform lain akan menjadi tuan rumah, mungkin Polis Diraja Malaysia (PDRM), mungkin Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) yang kita akan lihat kemudahan-kemudahan yang boleh digunakan sebagai acara tahunan atau dwitahunan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

