PERUNTUKAN RM1 JUTA PERCEPAT USAHA PULIH BEKALAN AIR DI KEM TERENDAK

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

SUNGAI UDANG 1 Ogos – Peruntukan RM1 juta yang diluluskan Kerajaan Negeri bagi menangani isu bekalan air di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang akan dimanfaatkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip kritikal dan penyelenggaraan jalan raya sebagai langkah segera mengurangkan gangguan kepada warga kem berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata peruntukan itu amat penting kerana projek retikulasi air baharu bernilai lebih RM40 juta yang sedang dilaksanakan hanya dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak mahu menunggu sehingga projek berkenaan siap kerana gangguan bekalan air akibat kebocoran paip sedia ada boleh terus menjejaskan kehidupan anggota tentera serta keluarga mereka.

“Di dalam Kem Terendak sedang dilaksanakan projek retikulasi air yang bernilai lebih RM40 juta, namun ia hanya akan siap pada 2028. Kalau kita menunggu sehingga tempoh itu, kita khuatir akan timbul masalah bekalan air.

“Ada beberapa kawasan yang tidak terlibat dalam projek retikulasi air sedia ada, jadi atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri meluluskan peruntukan RM1 juta, bajet daripada Kerajaan Negeri untuk kita menyelesaikan isu-isu yang kritikal terlebih dahulu termasuk membaiki paip yang bocor serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan,” katanya.

Beliau yang juga Penyelaras Japerun Sungai Udang berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pavilion, Kem Terendak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, selain usaha pembaikan infrastruktur oleh Kerajaan Negeri, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut tampil membantu menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara ketika berlaku gangguan bekalan air.

Katanya, SAMB akan menyediakan tangki air untuk ditempatkan di beberapa lokasi strategik, khususnya kawasan perumahan di dalam kem, sebagai bekalan sementara sekiranya berlaku gangguan.

“Sebelum ini apabila berlaku masalah air di dalam kem beberapa minggu lalu, kita menghantar hampir 30,000 gelen air menggunakan lori tangki.

“Kali ini SAMB menyumbang tangki-tangki air melalui CSR mereka untuk diletakkan terutama di kawasan-kawasan perumahan.

“Kadang-kadang kita tengok ibu-ibu di kawasan perumahan ini kesian kerana tidak ada air, jadi apabila berlaku gangguan, tangki-tangki ini dapat menampung keperluan sementara sehingga paip yang rosak selesai dibaiki,” katanya.

Beliau berkata, penempatan tangki air itu akan dilaksanakan selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Panglima 3 Divisyen bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada warga Kem Terendak.

Katanya, gabungan langkah pembaikan infrastruktur menerusi peruntukan kerajaan negeri dan penyediaan tangki air oleh SAMB diharap mampu mengurangkan impak gangguan bekalan air kepada penduduk sementara projek retikulasi air baharu disiapkan.

Untuk rekod, pengurusan bekalan air dan sistem paip di dalam kem tentera adalah di bawah bidang kuasa MINDEF dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

583
Kongsi :
Previous post 800 ATLET ISTIMEWA BERAKSI DI GELANGGANG SUKAN OKU 2026