800 ATLET ISTIMEWA BERAKSI DI GELANGGANG SUKAN OKU 2026

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

DUYONG 1 Ogos – Seramai 800 atlet istimewa dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) memeriahkan penganjuran Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Melaka 2026 di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, di sini, semalam.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, karnival itu bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah platform mencungkil bakat serta membina keyakinan diri dalam kalangan OKU.

“Program ini dilaksanakan selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) untuk memastikan pembangunan golongan sasar diberi perhatian secara menyeluruh menerusi pendekatan inklusif.

“Penganjuran karnival ini menyaksikan penyertaan pasukan daripada 28 DUN seluruh Melaka yang dibahagikan kepada 14 gabungan DUN, melibatkan penyertaan peserta OKU daripada pelbagai peringkat usia bermula kanak-kanak hingga golongan dewasa.

“Ini bertujuan memastikan setiap OKU di kawasan masing-masing diberi peluang untuk tampil mengetengahkan bakat dan potensi diri dalam bidang sukan serta kesenian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.

Kalsom berkata, penganjuran karnival itu turut membawa nilai tambah apabila menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, generasi muda dan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti disediakan.

“Program Citra Minda Intergenerasi yang menjadi sebahagian daripada pengisian karnival ini melambangkan sinergi antara pembangunan bakat OKU dengan usaha memperkukuh hubungan antara generasi.

“Ia juga menggambarkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membina masyarakat penyayang, inklusif dan saling memperkasakan tanpa meninggalkan sesiapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

247
Kongsi :
Previous post LIGA FUTSAL PIALA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA KEMBALI DENGAN FORMAT BAHARU
Next post PERUNTUKAN RM1 JUTA PERCEPAT USAHA PULIH BEKALAN AIR DI KEM TERENDAK