MELAKA BELANJA LEBIH RM250,000 SEDIA KEMUDAHAN TERAPI OKU

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 2 Ogos – Lebih RM250,000 telah dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi menyediakan kemudahan terapi untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negeri sebagai komitmen memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir daripada arus pembangunan dan kesejahteraan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan keperluan 39,261 warga Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar di seluruh Negeri Melaka.

Jelas beliau, usaha itu turut diterjemahkan menerusi penubuhan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) DUYONGkita di Taman Duyong Permai yang sahaja beroperasi bulan lalu.

Menurutnya, khusus bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sahaja, sejumlah RM85,000 telah diperuntukkan untuk membiayai operasi Pusat Terapi Duyong.

“Insya-Allah, melalui kemudahan ini, warga istimewa kita akan menerima khidmat pemulihan, terapi dan sokongan yang lebih dekat, lebih selesa dan lebih berkesan.

“Inilah semangat Melaka Sayang Rakyat. Tiada seorang pun harus dipinggirkan daripada arus pembangunan dan kesejahteraan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Duyong di Madrasah Helyatil Auliya Addiniah Al-Arabiyah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, Ab Rauf bersama Mohd Noor Helmy dan kenamaan telah mengadakan lawatan ke PPDK DUYONGkita bagi menyantuni anak-anak istimewa dan meraikan hari jadi mereka.

Ketua Menteri turut menyumbangkan dua unit televisyen pintar (Smart TV) bagi membantu proses terapi dan pembelajaran pelatih di PPDK berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post TOKONG, PERSATUAN PENGANUT DUYONG RASAI NIKMAT MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post 2 JAM JELAJAH DUYONG, TOK RAUF SELAMI DENYUT NADI RAKYAT