RM150,000 SENTUH HATI RAKYAT DUYONG

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

DUYONG 2 Ogos – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan dan bantuan bernilai hampir RM150,000 bagi memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap bantuan yang disalurkan mungkin kelihatan kecil pada sesetengah pihak, namun amat bermakna bagi keluarga yang memerlukan.

Katanya, nilai sebenar sesuatu bantuan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan, sebaliknya sejauh mana ia sampai kepada golongan yang memerlukan dan memberi perubahan kepada kehidupan mereka.

“Mungkin pada pandangan sesetengah pihak, bantuan ini kelihatan kecil. Namun, bagi sebuah keluarga yang sedang terhimpit, bantuan itulah yang memberikan kelegaan.

“Inilah nilai kemanusiaan dalam sebuah pentadbiran. Bukan sekadar berapa banyak wang yang diperuntukkan, tetapi sejauh mana setiap ringgit sampai kepada sasarannya, setiap bantuan menyelesaikan keperluan dan setiap tindakan membawa perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Duyong di Madrasah Helyatil Auliya Addiniah Al-Arabiyah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, antara bantuan yang disalurkan adalah agihan sebanyak 1,200 kampit beras bernilai RM18,000 kepada penduduk di sepanjang laluan konvoi bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

Selain itu, ujar beliau, turut disalurkan sumbangan berjumlah RM60,000 kepada 24 buah surau, 10 buah tokong, empat buah masjid dan empat buah pusat tahfiz bagi memperkukuh institusi agama serta rumah ibadat yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat.

“Tidak hanya itu, sumbangan bernilai RM4,000 menerusi Program Ziarah Kasih turut disalurkan dalam bentuk peralatan elektrik, kelengkapan perniagaan dan keperluan isi rumah bagi membantu penerima meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri memaklumkan, sebanyak empat unit televisyen pintar (Smart TV) turut disumbangkan kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) DUYONGkita, Sekolah Rendah Agama dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi menyokong aktiviti pembelajaran, terapi serta pembangunan modal insan.

“Malah, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM20,000 bagi kerja-kerja membaik pulih dua buah rumah, di samping penambahbaikan lima lagi kediaman menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM). Bantuan ini kita salurkan supaya keluarga yang terlibat dapat menikmati tempat tinggal yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Ab Rauf berkata, kesemua inisiatif berkenaan mencerminkan semangat Melaka Sayang Rakyat yang bukan sekadar sebuah slogan yang diucapkan, tetapi amanah yang dilaksanakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

826
Kongsi :
Previous post 2 JAM JELAJAH DUYONG, TOK RAUF SELAMI DENYUT NADI RAKYAT