IBU BAPA PUJI KOMITMEN MELAKA SAYANGI ANAK ISTIMEWA

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

DUYONG 3 Ogos – Usaha Kerajaan Negeri Melaka memperluas akses pemulihan dan terapi untuk anak-anak istimewa mendapat pujian ibu bapa yang menyifatkannya sebagai sebuah lambang keprihatinan.

Usaha itu digerakkan menerusi peruntukan lebih RM250,000 bagi kemudahan terapi Orang Kurang Upaya (OKU), selain penubuhan sebuah lagi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Duyong yang sangat membantu dalam perkembangan anak-anak istimewa di negeri ini.

Bagi K. Harshaveni, 39, kewujudan PPDK DUYONGkita di Taman Duyong Permai memberi sinar baharu kepada keluarganya khususnya dalam memastikan anak bongsunya berusia 4 tahun yang disahkan autisme dan kelewatan pertuturan sejak berusia setahun, mendapat sokongan pemulihan secara berterusan.

Katanya, sebelum ini dia berdepan kesukaran mendapatkan terapi untuk anaknya berikutan kos yang tinggi, dengan satu sesi terapi boleh mencecah RM120 sejam.

“Anak saya mula dikesan autisme dan speech delay ketika berusia setahun. Memang kita sudah dapat kesan awal, tetapi pada peringkat awal memang susah kerana kos untuk menghantar anak mendapatkan terapi sangat mahal.

“Namun, saya dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang memperkenalkan saya kepada sebuah pusat pemulihan khas di Melaka Mall pada awalnya, sehinggalah PPDK DUYONGkita ini dibuka dan anak saya diterima.

“PPDK ini dibuka hasil usaha YB Helmy dan Kerajaan Negeri. Saya sangat berterima kasih kerana semua pihak banyak membantu, termasuk Ketua Menteri yang turut memberikan sokongan kepada pemulihan anak istimewa di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2026 08 02 at 7.26.12 PM (1)
HARSHEVENI bersama anak istimewanya yang mendapatkan terapi di PPDK DUYONGkita.

Dia ditemui selepas lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke PPDK DUYONGkita sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang turut disertai Mohd Noor Helmy.

Sementara itu, bapa kepada seorang anak istimewa berusia 5 tahun, Muhammad Hairul Mohd Ali, 34, berkata kewujudan PPDK DUYONGkita turut membantu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa menghentikan terapi anaknya akibat kos yang tinggi.

Katanya, anak lelakinya yang kini berusia lima tahun mengalami kelewatan pertuturan dan masih belum dapat bertutur dengan lancar meskipun sudah menjalani pemantauan sejak berusia lebih setahun.

Sebelum ini, ujarnya, dia dan keluarga pernah memohon di PPDK lain, namun anaknya tidak dapat diterima kerana kebanyakannya sudah penuh.

“Alhamdulillah, selepas menjalani terapi di PPDK ini anak saya sudah menunjukkan kemajuan yang baik dan dapat menyebut lebih banyak perkataan.

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan lebih banyak PPDK di seluruh negeri memandangkan semakin ramai keluarga memerlukan kemudahan pemulihan dan terapi untuk anak istimewa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

593
Kongsi :
Previous post AYAM RM5 TOK RAUF BAWA MAKNA BESAR UNTUK RAKYAT
Next post IBU TUNGGAL SEBAK, JELAJAH KETUA MENTERI MAKBULKAN DOA BAIKI RUMAH UZUR