AYAM RM5 TOK RAUF BAWA MAKNA BESAR UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TELOK MAS 3 Ogos – Lebih 2,000 ekor ayam ‘licin’ terjual menerusi inisiatif Program Jualan Murah Ayam RM5 Tok Rauf sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, pada Ahad.

Insiaitif tersebut mendapat maklum balas positif daripada penduduk sekitar kawasan tersebut selepas ramai mendapat peluang untuk mendapatkan ayam segar pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Bagi penduduk, Ramli Ibrahim, program itu amat membantu meringankan perbelanjaan dapur keluarganya lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, dengan hanya RM5 seekor, lebihan wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan lain.

“Program seperti ini memang sangat membantu kami. Bukan sahaja dapat berjimat, malah lebih ramai keluarga mampu membeli ayam untuk kegunaan harian,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas.

Nada sama disuarakan seorang lagi penduduk, Zaini Ahmad yang menyifatkan penganjuran jualan murah berkenaan sebagai inisiatif prihatin yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat.

“Saya harap program seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa kerana impaknya sangat besar kepada masyarakat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.

Bagi penduduk, Ghani Ridhuan, peluang membeli ayam pada harga RM5 sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan, khususnya bagi warga emas yang bergantung kepada pendapatan tetap.

Katanya, program sedemikian membuktikan keprihatinan pemimpin dalam memahami keperluan rakyat serta membantu mereka mendapatkan barangan asas pada harga mampu milik.

“Alhamdulillah, program ini sangat bermakna untuk kami. Walaupun nampak kecil, penjimatan yang diperoleh cukup membantu perbelanjaan harian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post PENANTIAN 30 TAHUN NELAYAN TANJUNG NIBONG BERAKHIR