
PENANTIAN 30 TAHUN NELAYAN TANJUNG NIBONG BERAKHIR
TELOK MAS 3 Ogos – Penantian kira-kira 30 tahun komuniti nelayan Tanjung Nibong, di sini, untuk menikmati kemudahan jeti yang lebih sempurna akhirnya berakhir apabila jeti nelayan berkenaan siap dan kini memberi kelegaan kepada pejuang laut.
Bagi nelayan veteran, Omar Abdul Talib, 66, kemudahan itu bukan sekadar memudahkan urusan keluar masuk ke laut, malah menjadi bukti penantian panjang komuniti nelayan di kawasan berkenaan akhirnya mendapat perhatian dan direalisasikan.
Omar yang sudah hampir empat dekad mencari rezeki sebagai di lautan berkata, komuniti nelayan di kawasan itu telah lama memohon untuk mendapatkan kemudahan jeti dan bangsal yang lebih selesa, namun ia tiada kesudahan, sehinggalah perjuangan wakil rakyat ketika ini akhirnya berjaya menoktahkan penantian tersebut.
“Kita sudah minta kemudahan jeti dan bangsal nelayan sejak 30 hingga 40 tahun lepas, tetapi tiada kesudahan. Kita pun tidak boleh salahkan kerajaan, mungkin belum sampai rezeki kita.
“Sekarang kita bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya ada pihak yang membantu kita. Terima kasih kepada wakil rakyat dan Ketua Menteri yang membantu kami. Kami sebagai nelayan memang menyambut baik kemudahan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Azran Abdul Talip, 56, yang mewarisi pekerjaan berkenaan daripada keluarga sejak turun temurun berkata, kemudahan jeti itu banyak mengubah rutin harian komuniti nelayan yang sebelum ini terpaksa berdepan kesukaran ketika air surut.
Katanya, sebelum jeti dibina, keadaan air di kawasan Tanjung Nibong yang surut jauh sehingga kira-kira 200 meter menyukarkan nelayan untuk menaikkan bot sehingga ada yang terpaksa menunggu di laut hingga malam untuk kembali ke jeti.
“Penghargaan perlu saya berikan kepada Ketua Menteri dan Tok Ajak (Abdul Razak) yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat di Telok Mas, khususnya komuniti nelayan.
“Dengan adanya jeti dan penambahan bangsal nelayan yang baharu nanti, ia nyata memberi sinar kepada komuniti nelayan di kawasan ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Telok Mas, bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Jeti Nelayan Tanjung Nibong.
Beliau yang diiringi Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman turut mengadakan lawatan ke jeti baharu itu, di samping turut mengumumkan peruntukan RM400,000 lagi bagi pembinaan bangsal nelayan di kawasan tersebut.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada 200 nelayan di kawasan itu sebagai insentif pembelian jaring dan peralatan menangkap ikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

